Anak Bongsu
Dalam setiap keluarga, ada watak-watak yang tidak tertulis tapi selalu dirasai. Anak sulung sering dilabelkan sebagai pemimpin, bertanggungjawab, dan contoh teladan. Anak tengah pula dikatakan tersepit, mencari perhatian dan keseimbangan. Tapi anak bongsu, dia selalunya dikenali sebagai si manja, si penghibur, atau si 'baby' keluarga. Tapi benarkah itu sahaja kisahnya?..
Saya anak bongsu.
Dari kecil, saya dibesarkan dengan kasih sayang yang melimpah. Abang dan kakak sering mengalah. Baju-baju sekolah saya dan baju-baju t-shirt saya dulunya milik mereka. Mainan yang saya terima—kadang-kadang warisan, kadang-kadang baru, tapi semuanya penuh makna. Hidup sebagai anak bongsu kadang terasa mudah, tapi pada masa yang sama, penuh bayangan...
Bayangan apa?
Bayangan kejayaan adik-beradik terdahulu. Bayangan harapan ibu dan ayah yang mahukan saya 'menjadi' sesuatu. Bayangan bahawa saya harus 'membalas' segala kemudahan yang saya terima sejak kecil.
Sebagai anak bongsu, saya belajar banyak dari cerita dan kesilapan abang dan kakak.. Saya diberi nasihat yang mereka dulu tak sempat dengar. Tapi saya juga sering dianggap masih kecil, walau umur saya dah meningkat. Ada masa, suara saya tidak didengar, kerana saya “masih mentah” di mata mereka.
Tapi saya tak pernah salahkan mereka... Kerana saya tahu, kasih sayang dalam keluarga bukan soal giliran atau saiz tanggungjawab. Ia soal hati dan anak bongsu selalunya punya ruang paling istimewa dalam hati setiap ahli keluarga.
Anak bongsu bukan hanya si manja.
Kami juga pelindung bila orang tua sudah tua. Kami juga penyambung silaturrahim bila abang dan kakak sudah sibuk dengan keluarga masing-masing. Kami mungkin lahir paling akhir, tapi sering menjadi yang terakhir meninggalkan rumah, menjadi teman setia ibu dan ayah di usia senja.
Jadi buat semua anak bongsu di luar sana, ingatlah; status kamu bukan kelemahan. Ia adalah peluang! Peluang untuk mencintai lebih lama, berbakti lebih banyak dan belajar lebih dalam daripada perjalanan hidup keluarga kamu.
Kerana walau kamu datang terakhir, kamu tetap sebahagian pertama dalam hati mereka.🤍
Terbaik Semoga Dapat Teruskan Hobby menulis Blog💪🏿✨
ReplyDeleteApa apa kite nie yang first😬🫥
ReplyDelete